Cuaca aktif diramalkan berterusan sehingga 16 Ogos ini




Siaran Akhbar : Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 12 Ogos. - Negara Brunei Darussalam (NBD) pada masa ini berada dalam Monsun Barat Daya, yang lazimnya akan berterusan sehingga September 2025.


Pada jam 2.00 petang waktu tempatan hari ini, taufan 'Podul' dikesan di koordinat 21.3 darjah utara 126.6 darjah timur, di kawasan Lautan Pasifik Barat sekitar 2,000 kilometer (km) jauh dari NBD. Taufan 'Podul' diramalkan bergerak ke arah Barat Laut, dan menjauhi negara kita.


Taufan 'Podul' dijangka secara tidak langsung mempengaruhi keadaan cuaca negara. Keadaan cuaca aktif diramalkan berterusan sehingga Sabtu pagi, 16 Ogos 2025. Hujan atau hujan berpetir, kadang-kala lebat dan berangin kencang dijangka berlaku sekali-sekala, menjejaskan kebanyakan kawasan negara.


Kelajuan angin sehingga 55 kilometer sejam (kmsj) semasa atau dekat hujan lebat berpetir. Manakala, di perairan NBD, keadaan laut pada amnya di paras sedikit ke sederhana dengan ketinggian ombak di antara 0.5 meter (m) hingga 1.5m dan boleh meningkat buat sementara waktu ke paras bergelora sehingga 3.0m semasa hujan berangin kencang, iaitu sehingga Jumaat, 15 Ogos 2025.


Sehubungan dengan itu, orang ramai, termasuk pemandu di jalan raya dan pelaut, adalah dinasihatkan supaya mengambil langkah sewajarnya demi keselamatan semua semasa keadaan cuaca aktif.


Risiko kejadian pokok tumbang, atap terbang dan tanah susur semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang. Risiko banjir kilat terutamanya di kawasan rendah dan mudah banjir serta kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang. Keadaan laut bergelora adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil semasa keadaan hujan berangin kencang.


Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit BDMD, iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.


Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang 'www.met.gov.bn' atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram dan Whatsapp (Brunei Weather).


BDMD juga ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya dengan maklumat yang disebarkan melalui mana-mana aplikasi media sosial tanpa memastikan kesahihan maklumat yang disebarkan terlebih dahulu.

Close